BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: Sharon tampil enam tawaran utama untuk Permas

PERMAS – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo, tampil dengan enam tawaran utama yang memfokuskan penyelesaian isu rakyat menerusi manifesto bertemakan “Permas Kita Settle”.

Beliau berkata, tawaran tersebut dirangka berdasarkan maklum balas yang diterima hasil gerak kerja dan siri pertemuan bersama penduduk setempat sebelum penamaan calon lagi.

“Tawaran ini bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya dirangka berdasarkan keperluan sebenar masyarakat di DUN Permas. Keutamaan saya adalah menyelesaikan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Calon PH bagi DUN Permas, Sharon Teo , kiri bersama Ketua WARDA Nasional, Masturah Abu Bakar dalam sidang media di sini hari ini. – Foto Malaysia Tribune.

Menurut Sharon, tawaran pertama ialah pelan tindakan 100 hari yang memberi fokus kepada pelancaran platform Permas Kita Settle, pelaksanaan audit menyeluruh terhadap infrastruktur serta siri jelajah turun padang bagi mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi rakyat.

Bagi tawaran kedua, Sharon berhasrat memperjuangkan Pelan Trafik Permas 2030 sebagai pelan jangka panjang bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius, khususnya di laluan Bandar Permas Jaya hingga ke Pasir Gudang.

“Masalah trafik tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat. Sebab itu kita memerlukan satu pelan yang jelas, berasaskan data dan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Sharon turut mengumumkan cadangan penubuhan Permas Youth Hub sebagai tawaran ketiga bagi menyediakan ruang komuniti khusus untuk golongan belia menjalankan aktiviti, menganjurkan program serta mengembangkan potensi mereka.

Katanya, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan membuka ruang kepada kumpulan belia untuk mengemukakan cadangan program setiap tahun dengan sokongan daripada aspek penyediaan lokasi, promosi dan bantuan penganjuran.

Tawaran keempat pula memberi tumpuan kepada usaha menjadikan Permas sebagai kawasan yang lebih mesra wanita dan keluarga menerusi penambahbaikan kemudahan awam dengan mengambil kira keperluan wanita, ibu, bayi dan kanak-kanak, selain mengutamakan aspek keselamatan dan keselesaan komuniti.

Sharon turut menggariskan tawaran kelima yang memfokuskan usaha memperkasa komuniti Sabah dan Sarawak di Permas melalui cadangan menaik taraf Pasar Borneo sebagai pusat ekonomi dan budaya, selain memperkasakan dewan komuniti sebagai pusat aktiviti masyarakat.

Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan penduduk ialah kekurangan kemudahan asas di Pasar Borneo termasuk tandas awam yang sempurna, sekali gus menjejaskan keselesaan peniaga dan pengunjung, justeru perkara itu akan diberi perhatian sekiranya diberi mandat.

Sebagai tawaran terakhir, Sharon mencadangkan pelaksanaan Dialog Komuniti Permas yang akan dijadikan platform interaksi berkala antara wakil rakyat, penduduk dan agensi berkaitan.

“Pendekatan ini membolehkan setiap isu setempat dibincangkan secara terbuka sebelum penyelesaian dilaksanakan secara bersama,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button