BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket seks bawah umur tumpas di Johor, 71 ditahan

JOHOR BAHRU – Sindiket eksploitasi seks yang berselindung di sebalik operasi spa dan pusat urut tumpas dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang turut menyelamatkan 10 mangsa bawah umur (tidak dinyatakan usia) di premis berkenaan, kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan pukul 3.15 petang itu, seramai 71 individu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis di sini yang dipercayai aktif menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan terpilih melalui aplikasi WeChat dan WhatsApp.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil risikan dan aduan awam itu membongkar kegiatan pemerdagangan orang berskala besar yang mensasarkan wanita warga asing, termasuk bawah umur.

Pihak berkuasa memecahkan bilik rahsia yang digunakan dalam sindiket pelacuran warga asing melibatkan bawah umur di Johor Bahru.

“Seramai 37 wanita warga Vietnam dan 16 wanita warga Indonesia berusia 18 hingga 40 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran.

“Bayaran perkhidmatan seks ditawarkan antara RM200 hingga RM300 sejam, bergantung kepada pakej.

“Turut ditahan 11 lelaki warga Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja pembersihan serta tujuh lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pemilik premis, kapten dan penjaga wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati wanita-wanita itu mampu meraih pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan daripada kegiatan tidak bermoral terbabit.

“Ketika serbuan dilakukan, beberapa wanita warga asing sedang melayan dua pelanggan warga tempatan dan pelancong asing.

“Kebanyakan daripada mereka bersembunyi dalam bilik rahsia yang disediakan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa. Wang tunai RM128,464 turut dirampas yang dipercayai hasil aktiviti pelacuran,” katanya.

Zakaria berkata, menerusi pendekatan siasatan awal berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI 2.0), pihaknya berjaya mengenal pasti 10 wanita sebagai mangsa eksploitasi seks bawah umur membabitkan enam warga Vietnam dan empat warga Indonesia.

Sebahagian daripada warga asing yang dipercayai terlibat dalam khidmat seks ditahan JIM dalam operasi di Johor Bahru.

“Mereka dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan palsu, tidak dibayar gaji, pergerakan dikawal dan pasport dipegang pihak sindiket,” katanya.

Tambah beliau, semua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan manakala tahanan lain dihantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau penjara seumur hidup serta sebatan, selain Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Zakaria turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan eksploitasi warga asing bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negara ini.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button