BERITA SEMASA

Imigresen serbu KTV eksklusif warga asing di Bukit Bintang, dadah ditemui dalam bilik hiburan

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) mewah yang dipercayai menjadi lokasi eksklusif warga asing berhibur sambil mengambil dadah di Jalan Changkat, Bukit Bintang di sini, digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) awal pagi tadi.

Serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan (JIM) Putrajaya itu membawa kepada penahanan ratusan warga asing, kebanyakannya dari China, yang dipercayai berada dalam keadaan khayal ketika berhibur di premis berkenaan.

Pemeriksaan di pusat hiburan yang beroperasi di tingkat satu dan lima sebuah hotel itu turut menemukan dadah jenis ketamine serta peralatan menghisap dadah di setiap lapan bilik mewah KTV di tingkat lima.

Premis berkenaan dipenuhi pelanggan lelaki warga China bersama pelayan wanita asing atau GRO dari beberapa negara termasuk Vietnam, China dan Thailand.

Bagaimanapun, tangkapan yang dibuat hanya membabitkan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan Imigresen kerana operasi itu tidak disertai Polis Diraja Malaysia mahupun Agensi Antidadah Kebangsaan.

Menurut JIM, risikan terhadap premis itu sudah dilakukan sejak dua minggu lalu susulan maklumat mengenai sebuah KTV yang dikatakan kebal daripada sebarang tindakan pihak berkuasa.

“Pusat hiburan ini sukar ditembusi kerana dikawal ketat di pintu masuk lobi hotel dan kawasan sekeliling selain dipantau menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan sebarang cubaan serbuan.

“Justeru, pihak JIM menempatkan pegawai dan anggota di lokasi strategik sebelum operasi dijalankan pada pukul 1 pagi bagi mengelakkan suspek melarikan diri,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Menurutnya, operasi berkenaan adalah serbuan pertama dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya ke atas premis terbabit.

Hasil risikan awal mendapati hanya warga asing dibenarkan memasuki pusat hiburan itu dan kebanyakan mereka dipercayai menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk berada di negara ini.

“Mereka masuk sebagai pelancong, penuntut institusi pengajian tinggi dan ada juga didaftarkan sebagai pembantu rumah tetapi bekerja sebagai GRO.

“Pihak JIM juga tidak menolak kemungkinan berlaku penyalahgunaan permit oleh warga asing yang berada di premis ini, selain disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan Macau Scam serta jenayah komersial,” katanya lagi.

Menurut JIM, siasatan lanjut sedang dijalankan dan jumlah keseluruhan tangkapan serta butiran terperinci operasi akan diumumkan kemudian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button