Alasan ‘tumpang tandas’ tak menjadi, warga asing dicekup bersama isteri orang
KLUANG – Helah seorang duda warga asing yang mendakwa hanya mahu ‘tumpang tandas’ di bilik seorang wanita berstatus isteri orang terbongkar apabila mereka dicekup pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan di sebuah hotel di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan pukul pukul 1.20 pagi itu, lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan hasil risikan serta intipan berterusan pihak JAINJ.
Menurut jabatan itu, sebaik ketibaan pegawai penguat kuasa, pintu bilik dibuka oleh seorang lelaki berbaju T dan berseluar jeans.
“Lelaki tersebut cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan. Dia memberi alasan mahu pulang dan hanya datang ke bilik wanita itu untuk menumpang tandas.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang wanita berkain batik ditemui di dalam bilik berkenaan. Kedua-duanya mengaku bukan pasangan suami isteri dan tiada hubungan mahram,” katanya.
Siasatan mendapati lelaki itu berasal dari negara jiran, bekerja di Kluang dan berstatus duda.
Wanita pula adalah isteri orang tetapi mengaku sudah tidak tinggal bersama suaminya.
Wanita berkenaan tiba di hotel itu dengan menaiki kereta dan mendaftar masuk pada pukul 8 malam, manakala lelaki tersebut datang kemudian dengan motosikal pada pukul 11 malam.
Pasangan itu juga didapati terlebih dahulu mengatur pertemuan melalui WhatsApp.
“Alasan mereka kononnya berbincang hal perniagaan tidak boleh diterima. Malah lelaki itu beberapa kali cuba merayu agar dilepaskan, namun tidak dihiraukan,” menurut kenyataan.
Pasangan terbabit kemudian dibawa ke balai polis sebelum tindakan susulan dibuat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








