Kongsi duit sewa hotel, pasangan dicekup berkhalwat ketika Ramadan
JOHOR BAHRU – Tindakan sepasang lelaki dan wanita bukan suami isteri menyewa bilik hotel pada bulan Ramadan membawa padah apabila ditahan kerana disyaki berkhalwat, malah turut mengaku tidak berpuasa.
Perbuatan pasangan berusia lingkungan 20-an itu terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menjalankan pemeriksaan di sebuah hotel di sini kira-kira jam 3 petang semalam.
JAINJ berkata, pintu bilik hotel berkenaan dibuka oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan kemeja-T selepas hampir lima minit diketuk.
“Sebaik masuk ke bilik, anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan di tandas yang tidak berkunci sebelum menemui seorang wanita yang memakai seluar panjang dan kemeja-T lengan panjang.
“Hasil soal siasat mendapati pasangan itu bukan suami isteri. Kedua-duanya masih bujang dan bekerja di sini,” memetik BH online.
Pemeriksaan lanjut menemui mi segera yang telah dimakan separuh serta air kotak besar yang berbaki sedikit di atas meja.
Pasangan itu kemudian mengaku tidak berpuasa dan baru sahaja makan serta minum sebelum pemeriksaan dijalankan.
Ketika ditanya tujuan menyewa bilik hotel berkenaan, mereka mendakwa ada perkara yang mahu dibincangkan kerana berhasrat untuk bernikah.
“Pasangan ini menyewa bilik hotel dengan berkongsi duit gaji masing-masing.
“Mereka dinasihatkan supaya segera bernikah, namun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








