BERITA SEMASA

Elak dicekup khalwat, lelaki pertaruh nyawa berpaut di luar tingkat 13

MELAKA – Demi mengelak ditangkap khalwat, seorang lelaki berstatus suami orang sanggup mempertaruhkan nyawa dengan bersembunyi di luar tingkap tingkat 13 sebuah kondominium di Kota Laksamana, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.40 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun berkenaan dikesan oleh Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai kehadiran pasangan bukan mahram di unit kondominium tersebut.

Menurut sumber, ketika serbuan dilakukan, pasangan terbabit pada awalnya enggan membuka pintu sebelum wanita berusia 25 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu akhirnya akur dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Wanita itu yang masih bujang mendakwa dia tinggal bersendirian dan pemeriksaan awal di dalam rumah serta di koridor tingkat 13 tidak menemui individu lain.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut menggunakan lampu suluh di bahagian luar tingkap membawa kepada penemuan lelaki berkenaan yang bersembunyi di bawah kompresor pendingin hawa dalam keadaan tidak berbaju,” katanya.

Hasil siasatan mendapati, lelaki tersebut bekerja sebagai eksekutif pemasaran dan mengaku sudah berkahwin, namun sedang dalam proses perceraian, manakala wanita berkenaan masih bujang.

Kedua-duanya turut mengaku tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri.

Pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana disyaki berkhalwat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button