JENAYAH & MAHKAMAH

‘Datang bantu basuh periuk’, lelaki dicekup khalwat pada 1.30 pagi

KLUANG – Alasan sekadar membantu membasuh periuk tidak mampu menyelamatkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an daripada dicekup kerana disyaki berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, lelaki terbabit ditemui dalam keadaan hanya memakai seluar dalam dan baju-T ketika sedang mencangkung membasuh periuk besar di dalam tandas sebuah rumah kampung berkembar.

JAINJ berkata, serbuan dilakukan susulan aduan orang ramai berhubung kekerapan lelaki berkenaan mengunjungi rumah seorang wanita walaupun tidak mempunyai hubungan sah sebagai suami isteri.

“Sebaik tiba di lokasi, penguat kuasa mendapati terdapat kenderaan milik lelaki dan wanita di pekarangan rumah.

“Dua anggota ditugaskan mengawal pintu belakang bagi mengelakkan cubaan melarikan diri, manakala anggota lain mengetuk pintu hadapan sebelum dibuka seorang wanita berbaju kelawar tanpa bertudung selepas kira-kira lapan minit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penguat kuasa kemudian menjalankan pemeriksaan di dalam rumah dan mendapati ruang tamu dalam keadaan gelap.

“Hasil pemeriksaan di semua bilik tidak menemui sesiapa sebelum anggota terlihat lampu tandas menyala dengan pintu dalam keadaan tidak berkunci.

“Sebaik pintu ditolak, seorang lelaki ditemui mencangkung membasuh periuk dan kelihatan gelisah apabila diminta keluar,” katanya lagi.

Siasatan awal mendapati pasangan itu adalah kekasih dan belum berkahwin. Lelaki berkenaan bekerja di Kluang manakala wanita terbabit juga masih bujang.

Ketika ditanya tujuan berada di rumah itu, lelaki berkenaan memberi alasan hanya membantu membasuh periuk.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di bilik utama menemukan cadar, selimut dan bantal dalam keadaan berselerak.

Pasangan tersebut memaklumkan mereka merancang untuk bernikah dalam tempoh tiga bulan lagi.

Kes akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button