Pemandu lori dicekup berkhalwat dipenjara 6 bulan, denda RM6,000
MELAKA – Seorang pemandu lori dihukum penjara enam bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, selepas dicekup berkhalwat dengan kekasihnya di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong.
Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin terhadap tertuduh, Ibrahim Bacha, 49, yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan, memetik laporan Kosmo! Online.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ibrahim didapati berkurung yang mendatangkan syak dengan seorang perempuan beragama Hindu berusia 49 tahun yang bukan isteri atau mahramnya di sisi syarak.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 12.05 tengah malam pada 11 September lalu dan 12.15 tengah malam tadi di sebuah rumah di Blok D, PPR Krubong.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 53 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum 24 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah yang mengendalikan pendakwaan tersebut memohon hukuman penjara dikenakan dengan mengambil kira faktor kesalahan dilakukan tertuduh adalah besar yang menghampiri zina serta ia bukanlah kesalahan pertamanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara dengan alasan dia hanya menumpang rumah kekasihnya itu kerana tidak mampu menyewa rumah lain.
Dia turut menyatakan hasratnya untuk menikahi kekasihnya itu setelah wanita terbabit memeluk Islam.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Mohd Yunus menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama manakala penjara enam bulan dan denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan kedua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








