Lelaki dakwa dalam proses cerai ditahan berkhalwat dengan janda
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki memberi alasan sedang melalui proses perceraian dengan isterinya ketika ditahan berkhalwat bersama seorang wanita berstatus janda di sebuah rumah teres dua tingkat di sini, awal pagi semalam.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memaklumkan, pasangan berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan hasil aduan awam yang diterima kira-kira jam 1.20 pagi.
JAINJ berkata, sebaik tiba di lokasi, penguat kuasa mendapati sebuah kereta milik wanita dan sebuah motosikal dipercayai milik lelaki terbabit berada di dalam kawasan rumah berpagar yang berkunci.
“Dua anggota penguat kuasa ditempatkan di bahagian belakang rumah bagi mengelakkan individu melarikan diri sebelum pemeriksaan dilakukan.
“Selepas memberi salam, pintu hadapan dibuka oleh seorang wanita yang berpakaian lengkap berkain batik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
JAINJ berkata, hasil pemeriksaan mendapati lampu ruang tamu terpasang dan terdapat tilam diletakkan di hadapan televisyen yang tertutup.
“Apabila ditanya jumlah individu di dalam rumah, wanita berkenaan tidak memberikan sebarang jawapan.
“Pemeriksaan di tingkat bawah termasuk bilik dan dapur tidak menemui individu lain.
“Pemeriksaan diteruskan ke tingkat atas yang mempunyai dua bilik sebelum seorang lelaki ditemui bersembunyi di sebelah almari dalam salah sebuah bilik, juga dalam keadaan berpakaian lengkap,” katanya lagi.
Menurut JAINJ, pasangan itu mengaku bertemu tanpa ikatan pernikahan, dengan wanita terbabit berstatus janda dan bekerja di daerah berkenaan.
“Lelaki itu pula masih berstatus suami orang dan mendakwa sedang dalam proses perceraian di Mahkamah Syariah, namun belum diputuskan.
“Dia menyatakan hasrat untuk bernikah dengan wanita berkenaan selepas selesai urusan perceraian,” katanya lagi.
Tambah kenyataan itu, penguat kuasa mengesyaki ruang tamu menjadi lokasi pasangan berkenaan berada sebelum serbuan dibuat berdasarkan keadaan selimut dan tuala yang berselerakan serta basah.
Pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








