KDN perkukuh infrastruktur keselamatan, perkhidmatan awam di Johor
JOHOR BAHRU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh infrastruktur keselamatan dan penyampaian perkhidmatan awam di Johor menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan melibatkan agensi di bawah kementerian itu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Johor merupakan negeri strategik di selatan tanah air yang menjadi antara nadi utama keselamatan, perkhidmatan awam serta pintu masuk negara.
“Oleh itu KDN terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan di Johor melalui agensi-agensi di bawah KDN merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Pelbagai projek pembangunan telah disenaraikan bagi memperkukuh infrastruktur, meningkatkan kecekapan operasi serta menambah baik kemudahan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, antara projek yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, perolehan tanah bagi pembinaan IPD Pengerang, selain kerja-kerja pembaikan kuarters dan lif di premis PDRM.
Tambah beliau, KDN turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan Jabatan Imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi memastikan pengurusan pintu masuk negara dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, tersusun dan berintegriti.
Selain itu, katanya, kementerian turut melaksanakan pembinaan Pejabat JPN Daerah Batu Pahat, menaik taraf sistem asas di Penjara Kluang dan Penjara Simpang Renggam, pembangunan semula pejabat AADK serta Pusat Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (PUSPEN), termasuk menaik taraf jeti dan bangunan di Abu Bakar Maritime Base.
“Insya-Allah, KDN akan terus memastikan setiap peruntukan dan projek yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada rakyat, memperkukuh kesiapsiagaan agensi keselamatan serta menyokong pembangunan Johor sebagai negeri yang selamat, cekap dan sejahtera.
“KDN komited memperkasa Johor demi rakyat, demi anggota, demi negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















