BERITA SEMASA

Penyalahgunaan dadah di tahap membimbangkan – Saifuddin Nasution

MARAN – Isu penyalahgunaan dadah berada pada tahap membimbangkan apabila seramai 134,916 penagih dan penyalahguna bahan terlarang itu direkodkan setakat Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, angka itu satu ancaman besar terhadap keselamatan negara dan masa depan generasi muda.

“Dadah bukan lagi isu terpencil. Ia kini menjadi ancaman serius kepada keselamatan, kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi negara.

“Angka ini sangat membimbangkan dan kita tidak boleh memandang ringan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2025 yang disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak Jengka, hari ini.

Menurutnya, di Pahang sahaja, seramai 9,452 penagih direkodkan, bersamaan 567 orang bagi setiap 100,000 penduduk dengan majoriti penagih berusia antara 15 hingga 35 tahun.

“Keadaan ini memberi isyarat bahaya kepada masa depan negeri. Jika tidak dibendung segera, kita bakal kehilangan generasi yang sepatutnya menjadi tulang belakang pembangunan negara,” tegasnya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan dadah sintetik seperti methamphetamine dan ketamin yang menurutnya jauh lebih berbahaya kerana mudah dihasilkan serta diseludup masuk.

Tambahnya, setakat ini, 53,800 klien sedang menjalani rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), manakala 1,917 lagi menerima rawatan di pusat pemulihan persendirian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button