BERITA SEMASADALAM NEGERI

ASEAN sepakat Malaysia terus jadi perantara konflik sempadan Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR – Semua pemimpin negara anggota ASEAN bersetuju agar Malaysia terus memainkan peranan sebagai perantara dalam usaha menyelesaikan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi semua pemimpin ASEAN sebelum menerima kunjungan hormat daripada delegasi Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang diadakan di Wisma Perwira, Angkatan Tentera Malaysia hari ini.

“Perdana Menteri menyebut beliau sempat menelefon kesemua pemimpin ASEAN bahawa kesemua ketua negara ASEAN yang dihubungi bersetuju agar Malaysia terus memainkan peranan.

“Ketua-ketua negara ASEAN yang lain juga terus beri dukungan dan setuju bahawa mekanisme dua hala yang dibuat sekarang memadai buat masa ini,” katanya dalam satu sidang media setelah selesai mesyuarat GBC di ibu negara hari ini.

Baca juga : Lima perkara disepakati Thailand-Kemboja

Menghadiri mesyuarat itu, Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit susulan sesi mesyuarat kumpulan kerja bersama sejak Isnin lalu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Mesyuarat itu berjaya mencapai kata sepakat menerusi lima perkara termasuk persetujuan bagi memantau proses gencatan senjata yang ketat, membabitkan semua jenis serangan dan senjata.

Selain itu, kedua-dua negara juga akan mengekalkan kedudukan tentera semasa seperti pada tarikh gencatan senjata, tanpa sebarang penambahan tentera.

Sebuah pasukan pemerhati sementara juga akan ditempatkan bagi memantau kawasan terbabit secara berkala tanpa melintasi sempadan, dan akan berkoordinasi rapat dengan Jawatankuasa Sempadan Bersenjata (ABC) dan GBC setiap negara.

Pada 28 Julai lalu, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah menjadi tuan rumah kepada mesyuarat penting di Kuala Lumpur yang menghimpunkan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayacha.

Susulan mesyuarat itu, Anwar mengumumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat, sebagai langkah awal membina semula kepercayaan dan kerjasama.

Konflik yang tercetus pada 28 Mei lalu di kawasan sempadan Preah Vihear telah mengorbankan 15 nyawa dan memaksa lebih 100,000 penduduk berpindah, sekali gus membangkitkan semula pertikaian lama membabitkan sempadan sepanjang 817 kilometer.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button