ASEAN perlu bersatu hadapi ketidaktentuan keselamatan global – Khaled
KUALA LUMPUR – Perpaduan dan kerjasama negara anggota ASEAN perlu terus diperkukuh bagi menghadapi persekitaran keselamatan antarabangsa yang semakin tidak menentu termasuk persaingan geopolitik, konflik bersenjata dan kemunculan teknologi baharu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan di Eropah, Asia Barat dan wilayah lain membuktikan bahawa kegagalan mengutamakan dialog serta mengabaikan undang-undang antarabangsa boleh membawa kesan melangkaui negara yang terlibat secara langsung.
Menurutnya, ASEAN perlu mengambil iktibar daripada perkembangan itu dengan mengekalkan perpaduan, mengamalkan sikap menahan diri dan memastikan pertikaian diselesaikan secara aman.
“ASEAN tidak boleh membiarkan keadaan yang sama bertapak di rantau ini. Kita mesti kekal bersatu, mengamalkan sikap menahan diri serta memelihara keamanan dan kestabilan yang telah kita usahakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pandangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Ke-13 Plus (ADMM-Plus) di Cebu, Filipina.
Mohamed Khaled berkata, sepanjang hampir enam dekad penubuhannya, ASEAN membuktikan negara yang mempunyai sistem politik, kepentingan nasional, budaya, agama dan pandangan berbeza mampu hidup bersama secara aman serta bekerjasama.
Katanya, kekuatan pertubuhan serantau itu bukan terletak pada ketiadaan perbezaan, sebaliknya keupayaan menguruskannya menerusi dialog, rundingan, sikap saling menghormati dan konsensus.
Menurutnya, prinsip ASEAN termasuk menghormati kedaulatan, tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain serta menyelesaikan pertikaian secara aman perlu terus menjadi asas ketahanan rantau ini.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan kedudukan utama ASEAN dalam hubungan dengan rakan dialog, khususnya bagi memastikan kerjasama keselamatan serantau dibina berasaskan penghormatan terhadap kepentingan semua pihak.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) membuka peluang untuk memperluas kerjasama pertahanan, namun turut mewujudkan risiko dan cabaran baharu yang perlu ditangani secara bersama.
“Oleh itu, Malaysia mengalu-alukan perkongsian pengalaman, kepakaran dan bantuan daripada rakan kongsi Plus bagi membangunkan keupayaan ASEAN.
“Kita menggalakkan rakan kongsi Plus supaya terus menawarkan bantuan yang praktikal dan bermakna, selaras dengan keutamaan ASEAN bagi memperkukuh keupayaan negara anggota serta menyokong ketahanan kolektif,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama sedemikian penting supaya ASEAN mampu menghadapi perubahan persekitaran keselamatan tanpa mengabaikan prinsip yang menjadi asas penubuhannya.
“ASEAN yang kuat dan bersatu bukan sahaja menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau, malah kepada masyarakat global secara keseluruhan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








