JENAYAH & MAHKAMAH

Pengasuh mengaku tidak bersalah abai bayi 10 bulan hingga maut

BUTTERWORTH – Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki berusia 10 bulan di bawah jagaannya sehingga menyebabkan kematian mangsa, minggu lalu.

Tertuduh, Nurfitrah Mohd Raziff, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang diamanahkan menjaga bayi berkenaan didakwa mengabaikannya sehingga menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sungai Dua, di sini, antara pukul 5.40 pagi hingga 10.15 pagi pada 19 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahi, manakala tertuduh diwakili peguam, Y Yogeswaran.

Ketika prosiding, Nadhirah membantah permohonan jaminan, namun mencadangkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sekiranya jaminan dibenarkan.

Bagaimanapun, Yogeswaran memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya berusia 25 tahun, memperoleh pendapatan antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan dan bertanggungjawab menyara keluarganya, termasuk tiga anak.

“Anak guam saya juga memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan dan kami tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan.

“Ibu tertuduh juga hadir di mahkamah hari ini,” katanya memetik laporan Metro Online.

Roslan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Tertuduh mesti menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sekiranya dia memilikinya,” katanya.

Mahkamah menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Pada 20 Oktober lalu, media melaporkan pengasuh berusia 25 tahun itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi berkenaan yang ditemukan dalam keadaan lemah di rumahnya sehari sebelum itu.

Ibu bayi berkenaan dilaporkan menghantar anaknya ke rumah pengasuh pada pukul 5.40 pagi ketika mangsa berada dalam keadaan sihat.

Pengasuh itu kemudian meminta bantuan suaminya untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum bayi berkenaan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Dua untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, bayi itu meninggal dunia sebelum tiba di klinik berkenaan. Laporan bedah siasat kemudian mendapati bayi itu meninggal dunia akibat kecederaan di kepala yang konsisten dengan trauma akibat hentakan objek tumpul.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button