BERITA SEMASA

Dua peniaga makanan didakwa rogol pelajar universiti dalam kereta

MELAKA – Dua rakan yang bekerja sebagai penjual makanan di Klebang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol seorang pelajar universiti secara berkumpulan dalam sebuah kereta, minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Shafiq Asyraf Jasarudin, 23, dan Muhamad Nazhim Razali, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan persetubuhan tanpa kerelaan terhadap seorang wanita berusia 19 tahun di dalam sebuah kereta yang diletakkan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Bukit Rambai Utama, antara pukul 9 malam hingga 10 malam pada 22 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kerana melakukan pemerasan terhadap mangsa dan seorang lelaki berusia 20 tahun dengan mengugut untuk mencederakan mereka sekiranya tidak menyerahkan wang sebanyak RM3,000. Akibat ugutan itu, mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM50.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Taman Nirwana, Melaka pada hari dan waktu yang sama.

Selain itu, mereka turut didakwa menyamar sebagai pegawai polis dalam kejadian yang berlaku di kawasan lapang Pantai Klebang, juga pada tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar tidak menawarkan jaminan namun mencadangkan jumlah RM60,000 setiap seorang sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara dengan syarat tambahan melarang tertuduh mengganggu mangsa.

Peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili Muhamad Nazhim memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih bujang, menanggung ibu bapa yang sakit dan hanya bekerja menjual makanan di tepi jalan.

Sementara itu, Muhamad Shafiq Asyraf yang diwakili peguam K. Shareveen turut merayu jaminan rendah atas alasan menanggung isteri dan dua anak kecil serta bekerja menjual takoyaki.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM13,000 bagi semua pertuduhan ke atas Muhamad Shafiq Asyraf berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh hadir setiap kali sebutan kes dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tarikh 7 Julai ditetapkan untuk serahan dokumen.

Terdahulu, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari selepas disyaki merogol pelajar universiti berkenaan dengan menyamar sebagai polis.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang berusia 18 tahun sedang bersama teman lelakinya dalam sebuah kereta sebelum didatangi seorang suspek berusia 29 tahun yang menaiki motosikal dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Suspek kemudian memasuki kenderaan mangsa dan menghubungi rakannya yang berusia 23 tahun. Mereka menuduh pasangan itu melakukan hubungan intim sebelum mengugut meminta wang RM3,000 untuk mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Kedua-dua suspek didakwa memaksa pasangan itu melakukan hubungan seks di tempat duduk belakang kereta sambil salah seorang daripada mereka memandu. Salah seorang suspek turut didakwa merakam kejadian menggunakan telefon bimbit.

Mangsa kemudiannya ditinggalkan bersama kedua-dua suspek yang didakwa mengambil kesempatan merogol mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button