Polis rampas ayam 6.5 tan direndam air panas hingga mati sebelum disembelih
PUCHONG – Sebanyak 6.5 tan ayam mentah yang dipercayai diproses menggunakan kaedah penyembelihan meragukan dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong, tengah malam tadi.
Pemeriksaan menerusi Ops Taring Chiller kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu mendapati ayam berkenaan dipercayai direndam dalam air panas sehingga mati sebelum proses penyembelihan dilakukan.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, premis itu disyaki digunakan untuk aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal yang sah.
Beliau berkata, rampasan membabitkan 468 bungkus plastik ayam mentah dianggarkan bernilai RM85,400, manakala 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati ayam dipercayai melalui proses rendaman air panas sehingga mati sebelum proses penyembelihan dilakukan.
“Kesemua 6.5 tan ayam mentah di dalam 468 bungkus plastik itu dianggar bernilai RM85,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bekalan ayam diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sepang sebelum produk yang diproses dipercayai diedarkan kepada kedai makan, kedai runcit dan pasar raya sekitar Lembah Klang.
Operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Kesihatan Petaling.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, manakala warga asing terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








