Malaysia berhak tuntut tindakan berkesan Indonesia tangani jerebu – Arthur
PUTRAJAYA – Malaysia berhak menuntut tindakan berkesan daripada Indonesia bagi menangani pencemaran rentas sempadan akibat jerebu yang menjejaskan rakyat negara ini, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata, Malaysia menghormati hubungan baik dengan negara jiran itu, namun pada masa sama akan terus mengusahakan langkah bagi menangani masalah jerebu yang berpunca daripada kebakaran di negara berkenaan.
“Kita menghormati hubungan baik dengan Indonesia tetapi kita juga berhak menuntut tindakan yang berkesan apabila pencemaran rentas sempadan menjejaskan rakyat kita.
“Kebakaran mesti dikawal, pencemaran mesti dikurangkan dan rakyat mesti dilindungi,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan semasa jerebu di Malaysia di sini, hari ini.
Arthur berkata, Malaysia sudah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya di Indonesia pada 8 Julai lalu sebelum menghadiri mesyuarat peringkat Menteri ASEAN pada 9 Julai bagi membincangkan usaha menangani masalah berkenaan.
Katanya, usaha diplomatik diteruskan pada Ogos dan September menerusi rundingan serta tawaran bantuan rasmi kepada Indonesia.
Beliau berkata, Malaysia turut menawarkan bantuan aset dan tenaga kerja bagi membantu menangani kebakaran, dengan tawaran itu sudah disampaikan sehingga ke peringkat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berhubung dengan Presiden Indonesia.
“Secara lisan negara Indonesia telah bersetuju untuk menerima tawaran bantuan kita dan kita sedang berkoordinasi dan menunggu lampu hijau daripada negara Indonesia sekiranya diberi kebenaran untuk kita masuk dan juga sekiranya perlu untuk kita terus menawarkan bantuan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata, Malaysia mengikuti tindakan mahkamah yang mula diambil Indonesia terhadap beberapa syarikat yang dikatakan terbabit dalam kebakaran terbuka.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada bukti kukuh yang menunjukkan syarikat Malaysia memulakan kebakaran berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan kenyataan rasmi Menteri Perladangan dan Komoditi, hasil kajian dan risikan setakat ini tidak menunjukkan syarikat Malaysia terbabit memulakan kebakaran, meskipun terdapat kemungkinan api yang bermula di luar kawasan syarikat merebak ke kawasan mereka.
Pada mesyuarat ASEAN 9 Julai lalu, Malaysia turut mengemukakan cadangan diplomasi sains dan dana jerebu mampan menerusi mekanisme ASEAN bagi memperkukuh usaha pencegahan, kesiapsiagaan serantau dan pemantauan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








