PM balas hantaran pelajar Kolej PERMATA@Pintar, seloroh minta ‘caj royalti’
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian netizen apabila membalas hantaran seorang pelajar Kolej PERMATA@Pintar yang menzahirkan penghargaan selepas mendapat peluang menyampaikan ucapan pada majlis graduasi institusi berkenaan.
Menerusi hantaran di Threads, Anwar mengucapkan tahniah kepada pelajar berkenaan, Awwal Azzudin Awang sambil menitipkan nasihat supaya beliau meneruskan usaha dan kecemerlangan.
“Tahniah saudara atas penganugerahan, teruskan usaha. Ucapan yang baik. Mungkin kena caj royalti sikit,” katanya secara berseloroh.
Hantaran balas itu mendapat perhatian pengguna media sosial, dengan ramai menyifatkan respons Perdana Menteri berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap golongan pelajar dan generasi muda.
“Both of you are so cute,” komen @alindaaziz.
Terdahulu, Awwal menerusi hantaran di media sosial memaklumkan beliau menerima Anugerah Tertinggi Kolej PERMATA@Pintar dan diberi peluang berucap pada majlis graduasi.
Beliau turut berkongsi bahawa ucapan yang disampaikannya diinspirasikan daripada ucapan dasar Anwar yang ditontonnya, selain mengakui mengagumi gaya penyampaian dan pemikiran Perdana Menteri.
“Saya mengambil inspirasi daripada sesuatu yang sememangnya dekat dengan apa yang saya fikirkan dan ingin sampaikan. Bukan tiru bulat-bulat, saya cuma belajar daripada seseorang yang saya kagumi. Saya belajar dari ucapan Datuk Seri,” katanya.
Awwal turut berharap dapat bertemu Anwar pada masa akan datang bagi berkongsi cerita dan pengalaman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








