BERITA SEMASA

Lawatan PM ke Perancis, Brazil pacu diplomasi penerbangan negara – Anthony Loke

PUTRAJAYA – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis dan Brazil baru-baru ini tidak hanya tertumpu kepada urusan pembelian pesawat, sebaliknya satu strategi diplomasi penerbangan yang lebih luas dan berpandangan jauh.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pendekatan itu dilihat sebagai langkah proaktif bagi menjana pulangan ekonomi lebih besar kepada negara melalui kerjasama strategik dengan syarikat pengeluar pesawat global.

“Kita sedang memanfaatkan daya beli syarikat-syarikat penerbangan kita seperti AirAsia dan Malaysia Airlines untuk menarik pelaburan tambahan daripada syarikat seperti Airbus termasuk cadangan membuka kemudahan final assembly line di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Malaysia turut menjalin kerjasama dengan syarikat pengeluar pesawat dari Brazil, Embraer, menerusi cadangan menjadikan negara ini sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pusat latihan serta rantaian bekalan untuk pasaran Asia Tenggara.

Anthony berkata, inisiatif tersebut bakal merancakkan pembangunan sektor aeroangkasa negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat tempatan.

“Inilah pendekatan kita. Setiap ringgit yang dibelanjakan mesti membawa pulangan kepada negara sama ada dalam bentuk pelaburan, teknologi atau peluang ekonomi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button