LUAR NEGARA

Indonesia sedia hantar anggota pengaman ke Gaza

JAKARTA – Indonesia sedang membuat persiapan bagi menghantar sehingga 8,000 anggota tenteranya bagi misi pengaman di Gaza.

Tindakan itu selaras dengan usaha Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, memperkukuh peranan negara itu dalam keselamatan antarabangsa, lapor The Straits Times.

Ketua Turus Tentera Darat, Maruli Simanjuntak dalam satu kenyataan berkata, perancangan tersebut bagaimanapun masih bersifat sementara, dengan jumlah anggota serta tempoh penugasan bergantung kepada penyelarasan lanjut dalam rantaian perintah ketenteraan.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa sebarang penugasan akan memberi tumpuan kepada unit kejuruteraan dan perubatan, dan dikeluarkan susulan mesyuarat kepimpinan bersama tentera dan polis dengan Presiden Prabowo, semalam.

Indonesia sejak kebelakangan ini meningkatkan usaha diplomatik berkaitan Gaza, sejajar dengan hasrat Prabowo untuk memperluaskan peranan negara paling ramai penganut Islam di dunia itu dalam misi pengaman dan usaha penstabilan pasca konflik di Gaza.

Ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) September lalu, Prabowo menyatakan Indonesia sedia menghantar 20,000 atau lebih anggota pengamannya bagi membantu menjamin keamanan di Gaza atau kawasan lain.

Beliau kemudian menyertai puluhan pemimpin dunia menghadiri sidang kemuncak mengenai masa depan Gaza di Mesir, dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Mesir, Abdel-Fattah el-Sisi.

Indonesia baru-baru ini turut menyertai Lembaga Keamanan yang dicadangkan oleh Trump.

Prabowo juga sebelum ini berkata, Indonesia terbuka untuk menjalinkan hubungan dengan Israel sekiranya rejim itu mengiktiraf penubuhan sebuah negara Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button