BERITA SEMASA

KPT benarkan PdP dalam talian, hibrid sempena Deepavali

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan kemudahan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) sempena sambutan Deepavali 2026.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, kemudahan berkenaan berkuat kuasa mulai 5 November hingga 13 November depan.

“Langkah itu bertujuan memberi ruang kepada pelajar dan tenaga pengajar yang meraikan Deepavali untuk pulang ke kampung halaman serta meluangkan masa bersama keluarga.

“Kemudahan berkenaan meliputi semua IPTA termasuk Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaannya tertakluk kepada kesesuaian serta keperluan program akademik di institusi masing-masing bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti akademik tidak terjejas.

Menurut KPT, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kementerian terhadap kebajikan warga pendidikan tinggi, selain meraikan kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi asas keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Dalam pada itu, KPT turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada seluruh pelajar, tenaga akademik, warga kementerian serta rakyat Malaysia beragama Hindu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button