BERITA SEMASA

Tarikh permohonan UPUOnline untuk lepasan SPM dilanjut sehingga 12 April – KPT

PUTRAJAYA – Tarikh permohonan UPUOnline bagi kemasukan Sesi Akademik 2026/2027 khusus untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dilanjutkan dari 23 Mac kepada 12 April 2026.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pelanjutan itu dibuat susulan pengumuman tarikh keputusan peperiksaan SPM 2025 pada 31 Mac depan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sekali gus memberi lebih masa kepada calon untuk membuat permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam.

“Semua calon yang berkelayakan adalah dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

“Terdapat sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan SPM dan 1,146 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan STPM/Setaraf oleh Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) seluruh negara,” menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, KPT menekankan bahawa tarikh tutup permohonan bagi lepasan STPM/Setaraf kekal pada 23 Mac 2026.

Bagi tujuan ini, calon lepasan SPM perlu membeli No. Pin UPUOnline berharga RM10.60 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) sebelum mengemukakan permohonan.

Pin tersebut boleh dibeli melalui kaunter cawangan BSN, ATM BSN dan perbankan internet myBSN dengan resit pembayaran disimpan sebagai bukti sah pembelian.

Calon juga dinasihatkan untuk melengkapkan permohonan lebih awal, memastikan permohonan disahkan dengan menekan butang ‘Saya Setuju’ serta mencetak atau memuat turun slip permohonan sebagai bukti penghantaran.

Sebarang pertanyaan berkaitan permohonan UPUOnline boleh diajukan terus ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi di Menara 2, Presint 5, Putrajaya atau melalui e-mel upu@mohe.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button