Hadkan akses pelajar antarabangsa di Harvard jejas prinsip pendidikan sejagat
PUTRAJAYA – Usaha mempromosikan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman dalam konteks pendidikan tinggi di Amerika Syarikat kini dilihat semakin mundur dan membimbangkan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata keputusan mengehadkan akses pelajar antarabangsa di Universiti Harvard
merupakan contoh jelas yang boleh menjejaskan prinsip asas pendidikan tinggi sejagat.
“Perkembangan ini bukan sahaja mencabar prinsip lama yang menjadi asas kepada pembinaan kepercayaan merentas sempadan, malah turut menjejaskan ruang pertumbuhan intelektual bersama yang telah sekian lama menjadi tonggak kekuatan institusi pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khamis lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengambil tindakan drastik dengan membatalkan keupayaan Universiti Harvard untuk mendaftar pelajar antarabangsa.
Keputusan itu sekali gus mencetuskan ketegangan baharu dalam perbalahan mengenai kebebasan institusi Ivy League itu terhadap dasar kerajaan.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS, Harvard tidak lagi dibenarkan menerima pelajar antarabangsa, manakala pelajar sedia ada perlu berpindah ke institusi lain atau berdepan kehilangan status sah mereka di negara itu.
Harvard dalam kenyataannya menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan berikrar untuk terus mempertahankan hak institusi itu menerima pelajar dan sarjana antarabangsa dari lebih 140 buah negara.
Baca juga : Larangan pelajar asing: Harvard ambil tindakan undang-undang
Dr Zambry menegaskan, Malaysia kekal komited terhadap keyakinan bahawa pendidikan tinggi harus menjadi medan pertemuan pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk belajar bersama dan daripada satu sama lain.
Katanya, universiti di Malaysia mencerminkan iltizam ini menerusi dasar serta kerjasama yang mengutamakan akses, kolaborasi dan saling menghormati.
“Pilihan yang kita ambil ini mencerminkan nilai yang kita junjung serta masa depan yang ingin kita bentuk. Malaysia akan terus menyokong pendidikan inklusif dan berdiri teguh bersama institusi serta komuniti yang terkesan akibat langkah yang mengehadkan akses dan melemahkan kepelbagaian,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia tetap berpegang kepada prinsip yang memberi makna dan jangkauan sebenar kepada pendidikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








