BERITA SEMASA

Permohonan UPUOnline® sesi akademik 2026/2027 dibuka bermula 29 Januari

PUTRAJAYA – Permohonan kemasukan pelajar ke institusi pendidikan tinggi awam bagi sesi akademik 2026/2027 melalui UPUOnline® akan dibuka bermula 29 Januari hingga 23 Mac ini bagi Fasa Permohonan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Fasa Pertama Lepasan STPM/Setaraf. 

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), permohonan itu melibatkan kemasukan ke 20 universiti awam (UA), 36 politeknik, 106 kolej komuniti (KK) serta dua institusi MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) bagi program peringkat sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda.

“Bagi Fasa Kedua Permohonan Lepasan STPM/Setaraf, permohonan akan dibuka pada 13 April hingga 15 Mei 2026.

“Namun begitu, hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan/atau tidak melibatkan ujian sahaja ditawarkan pada fasa tersebut,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, KPT menjelaskan pembelian No. Pin UPUOnline® boleh dibuat mulai 28 Januari ini melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan bayaran sebanyak RM10.60, termasuk caj perkhidmatan.

“Pembelian boleh dilakukan di kaunter BSN, mesin ATM BSN serta perbankan internet myBSN.

“Secara keseluruhan, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM, manakala 1,146 program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan MARA BPT di seluruh negara,” katanya.

Sehubungan itu katanya, semua calon yang berkelayakan dipelawa untuk merebut peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA melalui talian 03-8684 2363 atau e-mel upu@mohe.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button