Dr Ahmad Martadha dilantik sebagai Naib Canselor UUM baharu
KUALA LUMPUR – Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar fasa baharu dalam kepimpinan apabila Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dilantik sebagai Naib Canselor ke-11 universiti itu berkuat kuasa semalam.
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kepakaran Prof Dr Ahmad Martadha dalam bidang pentadbiran awam serta pengalamannya menerajui institusi pendidikan di pelbagai peringkat diyakini mampu mengukuhkan peranan UUM sebagai pemacu utama pemindahan ilmu.
“Beliau berkeupayaan merealisasikan visi universiti untuk menjadi sebuah institusi pengurusan terkemuka yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” menurut KPT dalam kenyataan hari ini.
Menurut KPT lagi, Prof Dr Ahmad Martadha, 57, bukanlah wajah asing dalam landskap pentadbiran UUM, sebaliknya memiliki pengalaman luas dalam kepimpinan dan tadbir urus universiti berkenaan.
KPT berkata, beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Southern Illinois University, Carbondale, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam di Indiana State University, Amerika Syarikat.
“Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Awam dari Southern Illinois University, sekali gus memperkukuh kepakaran akademik dan pengurusan beliau dalam bidang berkenaan.
“Sepanjang perkhidmatannya, Prof Dr Ahmad Martadha pernah memegang beberapa jawatan strategik di UUM termasuk Dekan Pembangunan Pelajar dari 2005 hingga 2008.
“Selain itu beliau menjawat jawatan Dekan (Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan) serta Pengarah Perancangan Strategik dan Kualiti di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM antara 2005 hingga 2013.
“Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM bermula tahun 2022 sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang menerajui UUM sebelum ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







