BERITA SEMASA

AUKU: Kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi dibangunkan melalui OHEA – KPT

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju membangunkan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi melalui pendekatan One Higher Education Act (OHEA) susulan keputusan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) atau AUKU.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada semalam, susulan pengumuman Perdana Menteri pada 15 Ogos lalu berhubung pemansuhan AUKU.

Menurut KPT, pendekatan berkenaan selaras dengan Inisiatif 5A.2 di bawah Lonjakan Kelima Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

“Keputusan ini merupakan langkah penting dalam pembaharuan pendidikan tinggi negara.

“Tumpuan kerajaan bukan sekadar menggantikan AUKU tetapi membangunkan suatu kerangka perundangan yang lebih komprehensif, jelas dan responsif terhadap keperluan pendidikan tinggi masa kini dan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPT berkata, proses pembangunan kerangka berkenaan akan dilaksanakan secara terbuka, tersusun dan inklusif menerusi empat langkah utama.

Langkah itu termasuk penubuhan Jawatankuasa Bebas bagi menjalankan kajian serta mengemukakan syor, selain melaksanakan libat urus menyeluruh bersama semua pemegang taruh dalam ekosistem pendidikan tinggi.

KPT turut akan memuktamadkan kerangka dasar dan perundangan sebagai asas kepada penyediaan Rang Undang-Undang baharu, selain menyediakan mekanisme peralihan bagi memastikan kesinambungan tadbir urus dan operasi institusi pendidikan tinggi.

Menurut kementerian itu, proses berkenaan akan dilaksanakan secara teliti bagi memastikan pemansuhan AUKU tidak mewujudkan kelompangan perundangan atau menjejaskan kesinambungan tadbir urus dan pengoperasian institusi pendidikan tinggi.

“Matlamat akhirnya adalah untuk membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berpandangan jauh.

“Ia dapat memperkukuh institusi, melindungi kepentingan seluruh warga pendidikan tinggi serta menyediakan ruang yang lebih luas untuk autonomi, inovasi dan perkembangan pendidikan tinggi negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button