Raja Permaisuri Agong berkenan hadiri Festival Idea Putrajaya 2025
PUTRAJAYA – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat menghadiri Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025, sebuah festival berteraskan ilmu, inovasi dan kreativiti yang bertujuan merakyatkan idea serta memperkasa ekosistem pendidikan tinggi negara.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 9.30 pagi diiringi Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Turut hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Pada majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan mengikuti syarahan perdana yang disampaikan oleh Prof. Dr. Hisham A. Hellyer dari Royal United Services Institute for Defence, United Kingdom dan Profesor Madya Dr. Khairudin Aljunied dari National University of Singapore, Affiliation with International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC-IIUM).
Kedua-dua sarjana tersebut membentangkan topik bertajuk Adab as Moral Compass: From Principle to Practice in Our Troubled World dan The Future of Muslim Scholar-Activism in Southeast Asia yang menyorot perbincangan mendalam mengenai pendidikan Islam, nilai moral serta hala tuju cendekiawan masa depan di rantau ini.
Selain menjadi wadah ilmu dan inovasi, FOI 2025 turut memberi manfaat langsung kepada masyarakat melalui penganjuran pelbagai program seperti klinik bergerak, pemeriksaan kesihatan, perkhidmatan agensi kerajaan serta Jualan Rahmah.
Tidak ketinggalan, Karnival Kerjaya FOI 2025 menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan bergaji premium melibatkan 40 majikan, selain program Internship Market Week dengan kerjasama TalentCorp dan 30 syarikat ternama.
Festival yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menjadi antara inisiatif utama dalam merakyatkan idea dan pendidikan tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pemikiran strategik dan inovasi global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








