BERITA SEMASA

KPT jamin pelaksanaan pendidikan percuma PTPTN kepada keluarga miskin mulai 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan pelaksanaan pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada anak keluarga miskin yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan direalisasikan mulai tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada menikmati peluang pendidikan tinggi.

Menurutnya, inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal memberi manfaat kepada lebih 5,800 pelajar dengan jumlah penerima dijangka berubah mengikut pengambilan setiap tahun.

“Langkah ini menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap nasib mereka yang kurang bernasib baik. Kita tidak mahu kekangan kewangan menjadi penghalang kepada anak-anak pintar daripada keluarga miskin untuk meneruskan pengajian mereka.

“Kita serius dalam memastikan pelajar baharu daripada keluarga miskin mendapat tempat di universiti dan kolej tanpa sebarang halangan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, menerusi Belanjawan Madani 2025,
Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM120 juta setahun bagi keluarga miskin, iaitu pendapatan isi rumah kurang dari RM2,705 bagi inisiatif pendidikan itu.

Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang perolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.

Zambry menegaskan, pelaksanaan bantuan itu selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk menjadikan pendidikan tinggi lebih inklusif dan menutup jurang peluang antara golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut Zambry, senarai penerima bantuan pendidikan percuma itu akan ditentukan berdasarkan jumlah pengambilan pelajar setiap tahun serta data semasa golongan miskin yang layak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button