Festival Idea Putrajaya 2025 buka lebih 2,000 peluang pekerjaan gaji premium
PUTRAJAYA – Festival Idea Putrajaya 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal membuka lebih 2,000 peluang pekerjaan bergaji premium kepada graduan dan pencari kerja di seluruh negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, festival berkenaan bukan sekadar medan menghimpunkan idea dan kreativiti rakyat Malaysia, tetapi turut menjadi platform mempertemukan majikan dengan tenaga kerja berpotensi tinggi.
“Kita akan menyediakan ruang bagi mereka yang mencari pekerjaan dengan gaji premium. Ini antara inisiatif KPT melalui Festival Idea untuk membantu graduan dan pencari kerja mendapatkan peluang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melakukan tinjauan persiapan Festival Idea Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Baca juga : Putrajaya FOI terus diperkasa, pengisian ditambah baik tahun ini
Zambry menambah, pihaknya menyasarkan kehadiran dua juta pengunjung secara keseluruhan, termasuk 500,000 secara fizikal dan selebihnya secara maya di seluruh dunia.
Beliau berkata, festival yang dijadual bermula esok hingga 8 November itu merupakan penganjuran kedua selepas kejayaan edisi pertama tahun lalu, dan kali ini diangkat ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan pelbagai negara termasuk Indonesia dan Filipina.
“Festival ini bertujuan menghimpunkan pelbagai idea rakyat Malaysia, termasuk cendekiawan, penyelidik dan masyarakat umum, agar budaya berkongsi pandangan dan gagasan menjadi amalan dalam membangunkan negara,” ujarnya.
Beliau berkata, penganjuran kali ini turut menjadikan Putrajaya sebagai City of Ideas dengan pelbagai program seperti Sidang Idea Malaysia, My Idea Connects, Global Higher Education Summit, FOI Run Challenge serta Sounds of Malaysia yang menampilkan persembahan seni dan budaya universiti.
Jelasnya, festival yang bertemakan MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea itu meliputi agenda merakyatkan ilmu dan pendidikan tinggi, serta mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi global.
“Festival ini bukan sekadar berkisar tentang sains dan teknologi, tetapi juga merangkumi bidang sosial, budaya, muzik serta seni tempatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment