Zambry rakam takziah pemergian dua pelajar UiTM Rembau
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau yang meninggal dunia dalam satu kemalangan pada petang semalam.
Dalam kenyataannya, beliau memaklumkan kedua-dua pelajar berkenaan ialah Almarhumah Ismawanie Husna Ismail dan Almarhumah Nur Ain Zulaisya Zahrain.
Menurut beliau, pihaknya telah meminta UiTM supaya memberikan bantuan sepenuhnya dalam menguruskan segala keperluan berkaitan kedua-dua Allahyarhamah, termasuk membantu urusan kebajikan serta memberi sokongan sewajarnya kepada ahli keluarga yang terlibat.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga kedua-dua pelajar ini dan berharap mereka terus diberikan ketabahan, kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam, Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain memaklumkan,
dua pelajar terbabit yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX terbabas lalu
melanggar besi penghadang di KM 1, Jalan Chengkau–Panchang–Lubok Cina.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang itu ketika ketika kedua-dua pelajar itu sedang dalam perjalanan dari arah kampus menghala ke Pekan Lubok Cina.
Hasani berkata, mangsa, yang kedua-duanya berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan pada bahagian kepala.
“Hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika kedua-dua pelajar Diploma Pengurusan Maklumat serta Diploma Komunikasi dan Media itu sedang dalam perjalanan dari arah UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubok Cina. Keadaan cuaca dilaporkan baik ketika itu.
“Setiba di jalan selekoh, motosikal Yamaha NVX yang ditunggang Ismawanie Husna dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang,” katanya.
Sementara itu, Zambry turut mendoakan agar roh kedua-dua Almarhumah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








