BERITA SEMASA

20 Naib Canselor, Rektor UA sokong UiTM, sanggah pihak label sebagai Akademi Aparteid

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) menyanggah kolumnis, Andrew Sia yang melabel Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai ‘Akademi Aparteid’ susulan isu kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke institusi pengajian tinggi itu baru-baru ini.

Pengerusi JKNCR UA berkata, pandangan dan teguran mendidik haruslah diberikan terhadap kenyataan individu yang disifatkan sebagai tidak berasas itu.

“Perlembagaan Persekutuan, sama seperti undang-undang negara, tidak sepatutnya dipertikai atau dijadikan bahan gurauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penulis kenyataan tersebut menunjukkan kejahilan terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan hak serta kedudukan Bumiputera di Malaysia.

“Dakwaan ini mencerminkan kedangkalan serta sifat berat sebelah individu yang secara tidak langsung hanya merujuk istilah Bumiputera kepada kaum Melayu semata-mata.

“Sedangkan, kaum Bumiputera di negara ini meliputi seluruh masyarakat peribumi Malaysia, termasuklah orang Melayu dan semua anak negeri dari mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Beliau menggesa agar untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan isu perkauman seperti mana yang telah diingatkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi.

“JKNCR UA menyokong kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, yang menyeru agar semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman yang boleh mengucar-ngacirkan polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.

“Sebaliknya, beliau menekankan perlunya semua pihak bersatu hati dan berpadu tenaga dalam usaha mengekalkan kelestarian dan kesejahteraan negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, JKNCR UA menyeru agar lebih beradab dan berhemah dalam menyampaikan berita demi keharmonian bersama.

“Jawatankuasa JKNCR UA yang terdiri daripada 20 orang Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia menyokong pendirian UiTM untuk kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Katanya, beliau menegaskan kebebasan bersuara tidak seharusnya disalah guna sehingga mengabaikan adab dan adat yang selama ini dipertahankan.

“Kita boleh menerima teguran serta pandangan yang membina, tetapi biarlah berdasarkan fakta. Ilmu yang dikongsi seharusnya membawa manfaat dan bukan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat dan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Check Also
Close
Back to top button