Motosikal rempuh tiang elektrik, pelajar tahfiz warga Malaysia maut di Yala
YALA – Seorang pelajar tahfiz warga Malaysia maut selepas motosikal yang ditunggangnya bersama seorang rakan terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Lebuh Raya 410 Yala-Betong, Mukim Bannang Sareng, Daerah Mueang Yala, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, Muhammad Adam Arif Salleh, 21, dari Perlis disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Rakannya, Khairul Sulaiman Ali, 22, dari Kuala Kedah, Kedah, pula mengalami kecederaan parah dan masih tidak sedarkan diri.
Jurucakap Pusat Operasi Penyelamat Mae Ko Niao berkata, pasukan penyelamat bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati dua lelaki warga Malaysia terbabit dalam nahas itu.
“Salah seorang mangsa meninggal dunia manakala rakannya mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri.
“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Yala untuk mendapatkan rawatan dan tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Difahamkan, kedua-dua mangsa merupakan pelajar tahfiz al-Quran di Pondok Padang Pusu, Mukim Sadawa, Daerah Yarang, Pattani.
Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke pusat pengajian berkenaan yang terletak kira-kira 52 kilometer dari lokasi kejadian selepas menziarahi seorang rakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








