Maut dalam kemalangan motosikal, hasrat barista berkahwin September ini tidak kesampaian
KOTA BHARU – Impian seorang barista untuk mendirikan rumah tangga pada September ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Pangkalan Datu, Sering, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.40 malam itu, Mohammad Faiz Saat, 22, dan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggang mereka dipercayai bertembung, menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah.
Ibu Mohammad Faiz, Ramlah Musa, 55, berkata, anak bongsunya itu dijadualkan melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis dari Pengkalan Chepa dalam tempoh dua bulan lagi selepas berjaya mengumpul wang simpanan untuk perkahwinan mereka.
Menurutnya, sebelum kejadian, Mohammad Faiz yang bekerja sebagai barista di sebuah kafe di kompleks beli-belah di Lembah Sireh sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Cherang Laut, Senok, Bachok.
“Saya ada menghantar WhatsApp dan cuba menghubunginya, tetapi arwah tidak menjawab. Kebiasaannya dia akan sampai di rumah sekitar pukul 12 tengah malam selepas tamat bekerja.
“Pada pukul 12.15 tengah malam, seorang jiran datang ke rumah dan memaklumkan Mohammad Faiz terlibat dalam kemalangan.
“Rupa-rupanya dia tidak membalas mesej dan panggilan saya kerana sudah terlibat dalam nahas,” katanya memetik laporan Kosmo! Online ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian hari ini.
Ramlah berkata, dia amat terkilan kerana tidak sempat melihat anaknya melangsungkan perkahwinan, namun reda dengan ketentuan Allah SWT.
“Saya reda dengan pemergiannya, walaupun sedih kerana impiannya untuk berumah tangga tidak kesampaian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















