3 warga Bangladesh maut kemalangan di LPT, MPV tamat cukai jalan, pemandu tiada lesen
KUANTAN – Tiga lelaki warga Bangladesh maut manakala dua lagi rakan senegara mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 200.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala barat, malam tadi.
Lebih mengejutkan, semakan awal polis mendapati pemandu kenderaan berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala cukai jalan MPV jenis Toyota Avanza itu didapati telah tamat tempoh sejak Mei lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, kenderaan tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Kuala Lumpur sebelum hilang kawalan di laluan lurus lalu terbabas ke kiri jalan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan, manakala dua lagi mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu, Md. Sabber Hasan, 30; Md. Jahid Hasan, 21; dan Abdullah, 24. Kesemua mayat dibawa ke Jabatan Forensik HTAA untuk bedah siasat.
“Dua yang cedera ialah Md. Habib Bissas, 45, mengalami luka di kepala dan Maniram Chandra Bas, 40, cedera di anggota badan. Kedua-duanya dirawat di Zon Hijau HTAA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Jelasnya lagi, siasatan lanjut turut melibatkan pemeriksaan teknikal oleh PUSPAKOM selain usaha mengesan saksi kejadian dan majikan kepada kesemua mangsa.
“Polis menasihati orang ramai agar mematuhi undang-undang jalan raya dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, terutamanya di lebuh raya pada waktu malam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








