Mekanik maut digilis lori ketika baiki tayar treler di LPT 1
TEMERLOH – Seorang mekanik maut selepas dirempuh sebuah lori ketika sedang menukar tayar treler yang mengalami kerosakan di Kilometer 119.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.10 tengah hari itu, mangsa berusia 48 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas dilanggar lori yang dipercayai gagal mengelak treler berkenaan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asistan Komisioner Nasyim Bahron berkata, kemalangan berlaku ketika sebuah treler berhenti di bahu jalan selepas tayar belakang kenderaan berat itu pancit.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa sedang dalam proses menggantikan tayar belakang yang rosak.
“Ketika mangsa sedang duduk di atas jalan untuk membuat pemeriksaan tayar, sebuah lori telah bergesel dengan treler sebelum melanggar mangsa.
“Lori tersebut kemudiannya terbabas ke bahagian kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













