POLITIK

Agenda Maju Johor jadi fokus utama Syed Hussien di DUN Mahkota

KLUANG – Agenda Maju Johor akan menjadi tumpuan utama calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah, menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang berkata, agenda berkenaan merupakan kesinambungan pembangunan negeri yang terus digerakkan merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, perumahan, sosial ekonomi dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, agenda itu diyakini mampu memberi limpahan manfaat kepada kawasan setempat sekiranya diberikan mandat oleh pengundi.

“Alhamdulillah, seperti biasa kita akan teruskan dengan agenda Maju Johor kerana agenda ini meliputi semua aspek termasuk pendidikan, perumahan, sosial ekonomi dan kebajikan.

“Apa yang kita perlukan adalah agenda negeri yang dapat memberi limpahan kepada kawasan-kawasan kita,” katanya selepas selesai proses penamaan calon di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Mengulas mengenai peluang kemenangan, Syed Hussien berkata, pilihan raya merupakan proses demokrasi yang memberi ruang kepada semua parti untuk menawarkan diri kepada pengundi.

Menurutnya, lebih penting ialah memastikan setiap tawaran yang dikemukakan parti politik adalah relevan dan bukan sekadar janji politik semasa kempen.

“Sebagai Barisan Nasional, kita mempunyai rekod pentadbiran yang terbukti, khususnya di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Kita dapat lihat limpahan pembangunan yang dirasai oleh semua lapisan masyarakat di Johor,” katanya.

Beliau berkata, antara nilai tambah yang akan diberikan termasuk penambahbaikan bantuan melibatkan lebih 50 kluster di bawah program Kasih Johor, pembangunan sekolah rintis Bangsa Johor, penyediaan rumah mampu milik serta naik taraf infrastruktur.

Katanya, kerajaan negeri juga menyasarkan penyediaan kira-kira 200,000 peluang pekerjaan bergaji premium untuk anak Johor menerusi pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi di DUN Mahkota supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian demi memastikan kesinambungan kepimpinan yang mampu membawa manfaat kepada rakyat dan negeri Johor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button