POLITIK

PRN Johor medan demokrasi, bukan ruang fitnah dan provokasi

CYBERJAYA – Semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 diseru supaya memastikan kempen berlangsung secara sihat, matang dan berteraskan fakta, dasar serta penyelesaian kepada masalah rakyat.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, calon, jentera parti dan penyokong perlu mengelakkan penyebaran fitnah, kebencian serta provokasi yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.

Beliau berkata, undang-undang serta semangat demokrasi negara perlu terus dihormati oleh semua pihak sepanjang tempoh berkempen.

“Kempen pilihan raya seharusnya berteraskan fakta, dasar dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya dipenuhi dengan fitnah, kebencian atau provokasi yang menyentuh isu 3R,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan politik yang memainkan sentimen agama atau menyebarkan ketakutan.

Tambahnya, agama merupakan asas penting dalam kehidupan, namun tidak seharusnya disalahgunakan sebagai alat untuk memecah-belahkan masyarakat atau mempengaruhi pertimbangan pengundi.

Selain itu, beliau mengingatkan pengguna media sosial supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau berkongsinya bagi mengelakkan berita palsu dan fitnah mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Beliau berharap rakyat Johor dapat membuktikan kemampuan mengamalkan demokrasi yang matang, berhemah dan berasaskan fakta demi masa depan negeri itu.

Dr Sathia turut menyeru semua calon dan jentera kempen supaya mengamalkan politik secara profesional dengan mengekalkan adab, integriti serta sikap saling menghormati walaupun berbeza pandangan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa anak-anak Johor yang berada di luar negeri termasuk mereka yang bekerja di Singapura supaya pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Menurutnya, setiap undi mempunyai nilai besar dalam menentukan hala tuju Johor bagi tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata, rakyat Johor perlu menilai rekod, prestasi, dasar serta kemampuan setiap calon dan parti secara matang sebelum membuat pilihan.

Katanya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga perlu dipertimbangkan dalam usaha membawa pembangunan, pelaburan, peluang pekerjaan serta manfaat kepada rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button