Kemenangan BN mandat rakyat teruskan agenda pembangunan Johor -Khaled Nordin
JOHOR BAHRU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai mandat jelas daripada rakyat untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, keputusan yang dibuat pengundi bukan sekadar memberikan kemenangan kepada BN, sebaliknya mencerminkan kepercayaan rakyat agar kesinambungan pembangunan Johor diteruskan demi masa depan negeri.
“Johor telah membuat pilihannya dengan jelas. Kemenangan malam tadi bukan sekadar kemenangan BN, tetapi satu mandat penting untuk meneruskan agenda membangunkan Johor dan memastikan kemajuan yang dicipta dapat dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Menteri Pertahanan itu, Johor perlu terus bergerak ke hadapan dan tidak boleh kehilangan momentum pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Katanya, rakyat mahukan dasar pembangunan yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan mereka.
“Bangsa Johor mesti menikmati peluang pekerjaan yang baik, akses kepada pendidikan berkualiti, peluang memiliki rumah serta masa depan yang lebih baik di negeri sendiri,” kata Ahli Parlimen Kota Tinggi itu.
Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan pengundi kepada BN adalah amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri perlu bekerja dengan lebih kuat, pantas dan berkesan bagi memastikan setiap dasar serta projek pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.
Mohamed Khaled turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor atas kepercayaan yang diberikan kepada BN selain mengucapkan terima kasih kepada jentera parti dan petugas yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
“Johor telah membuat pilihannya. Kini tiba masanya untuk bekerja,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















