Pemuda UMNO anjur konvensyen khas bincang kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR – Semua ahli UMNO diajak untuk menghadiri konvensyen khas anjuran Pemuda UMNO bagi membincang, meneliti serta membuat keputusan mengenai hala tuju parti serta kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan, awal bulan depan.
Menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, konvensyen bertajuk ‘Hala Tuju UMNO: Kekal Atau Keluar Daripada Kerajaan Perpaduan’ itu dijadual berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Januari depan.
Tegas beliau, penganjuran konvensyen berkenaan susulan kegagalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, memohon maaf seperti dituntut oleh Pemuda UMNO Selangor dalam tempoh 24 jam, sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan akar umbi parti.
“Sehingga hari ini tiada sebarang permohonan maaf dibuat. Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pemuda UMNO Selangor dan UMNO Bahagian Puchong yang berani mengambil pendirian dengan memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) di kawasan itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, UMNO Bahagian Puchong mengumumkan secara rasmi memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan PH di kawasan itu, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan tersebut dibuat susulan kegagalan Bee Yin yang juga Setiausaha Publisiti DAP memohon maaf dalam tempoh 24 jam yang berakhir pada 24 Disember lalu berhubung kenyataannya berkaitan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Terdahulu, Bee Yin mengeluarkan kenyataan terhadap bekas Perdana Menteri itu menerusi hantaran berbunyi ‘Another reason to celebrate this year end’ yang dipaparkan bersama pautan berita sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’.
Susulan itu, Dr Muhamad Akmal mengajak semua ahli UMNO untuk hadir ke konvensyen berkenaan bagi menyuarakan pandangan serta isi hati secara terbuka dan berani.
“Pendirian yang dibawa Pemuda UMNO bukan bersifat pandangan peribadi, sebaliknya mencerminkan sentimen sebenar akar umbi yang kekal setia dan menyayangi perjuangan parti.
“Segala hasil perbincangan serta resolusi yang dicapai pada konvensyen tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum diserahkan secara rasmi kepada Presiden parti.
“Saya menggesa seluruh kepemimpinan dan ahli UMNO, sama ada yang memegang jawatan atau tidak, supaya hadir bagi mendengar dan memahami suara akar umbi dalam menentukan masa depan parti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








