Krisis NS memuncak: Aminuddin panggil mesyuarat tergempar
PETALING JAYA – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dijadual mengadakan mesyuarat tergempar di kediaman rasminya petang ini susulan tindakan UMNO menarik sokongan terhadap kepimpinannya.
Dalam perkembangan sama, Democratic Action Party (DAP) Negeri Sembilan yang memiliki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri turut mengadakan mesyuarat berasingan di pejabat parti pada pukul 2 petang, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, Arul Kumar Jambunathan.
Krisis politik itu tercetus apabila UMNO Negeri Sembilan mengumumkan kesemua 14 ADUNnya menarik sokongan terhadap Aminuddin yang juga dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Terdahulu, Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu sidang media berkata, keputusan tersebut berkait dengan krisis melibatkan empat undang yang dikaitkan dengan usaha menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut beliau, surat rasmi berhubung penarikan sokongan itu akan dikemukakan kepada Speaker dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri.
Sementara itu, lima ADUN Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO bagi membentuk kerajaan negeri baharu, memandangkan sekurang-kurangnya 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan, manakala Pakatan Harapan kini hanya memiliki 17 kerusi tanpa sokongan UMNO.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








