BERITA SEMASA

PRN Melaka: UMNO perlu beri ruang proses perundangan isu tahanan rumah Najib – Adly

HANG TUAH JAYA – UMNO perlu konsisten menghormati proses perundangan dan tidak menganggap usaha mendapatkan kepastian mahkamah berhubung perintah tambahan tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tindakan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, semua pihak sewajarnya memberikan ruang kepada proses kehakiman untuk menentukan kedudukan sebenar perintah berkenaan tanpa menjadikannya polemik politik.

Menurutnya, tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapatkan penentuan mahkamah berhubung kesan perintah tambahan itu mempunyai asas yang perlu diteliti dari sudut perundangan.

Beliau berkata, antara perkara yang memerlukan penjelasan ialah sama ada hukuman bagi kes SRC International masih berjalan menerusi tahanan rumah atau telah selesai selepas pembayaran denda RM50 juta.

“Perintah berkenaan mengarahkan pelepasan serta-merta, namun turut menyatakan baki hukuman dijalani secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

“Persoalannya sama ada hukuman SRC masih berjalan di lokasi berbeza atau telah selesai kerana kedua-dua keadaan membawa implikasi berlainan terhadap permulaan hukuman kes 1MDB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini.

Mengulas lanjut, Adly menegaskan persoalan berkenaan perlu diputuskan melalui proses kehakiman dan bukannya berdasarkan andaian politik yang boleh menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan undang-undang.

“Perkara ini memerlukan keputusan kehakiman, bukan andaian politik semata-mata.

“Sebab itu Barisan Nasional sewajarnya, khususnya UMNO, memberikan ruang kepada penjelasan tersebut dan berhenti menyamakan usaha mendapatkan kepastian undang-undang dengan tindakan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau turut mengingatkan UMNO supaya mengekalkan pendirian menghormati proses perundangan seperti yang pernah ditunjukkan ketika berdepan kemelut institusi diraja di Negeri Sembilan.

Menurutnya, parti itu sebelum ini meminta supaya kemelut berkenaan diberikan ruang untuk diselesaikan menerusi proses adat dan perundangan.

“Ketekalan yang sama perlu ditunjukkan apabila melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun kedua-dua perkara mempunyai asas perlembagaan berbeza.

“Penghormatan terhadap proses yang sah tidak boleh berubah mengikut kepentingan politik,” katanya.

Adly berkata, pasukan pembelaan Najib juga mempunyai ruang untuk mendapatkan penjelasan atau perintah lanjut daripada mahkamah bagi memastikan kedudukan undang-undang berhubung pelaksanaan tahanan rumah itu dapat dipastikan.

“Jangan sampai kepentingan kuasa mengaburkan mata sehingga prinsip hanya dipertahankan apabila menguntungkan sesetengah pihak.

“Perkara ini perlu diputuskan oleh mahkamah berlandaskan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau menegaskan semua pihak perlu menghormati proses kehakiman dan memberikan ruang kepada mahkamah untuk menentukan kedudukan undang-undang serta pelaksanaan perintah berkenaan tanpa tekanan politik.

“Kita memberikan ruang kepada mahkamah untuk menentukan kedudukan undang-undang dan pelaksanaan perintah berkenaan tanpa ada tekanan politik,” katanya. PRN Melaka: PH beralih ke fasa yakinkan masyarakat menjelang hari mengundi

HANG TUAH JAYA – Pakatan Harapan (PH) Melaka kini memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan kepercayaan pengundi selepas selesai memperkenalkan calon yang bertanding di kesemua 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, gerak kerja kempen kini memasuki peringkat seterusnya dengan memberi penekanan kepada usaha meyakinkan rakyat agar memberikan mandat kepada calon gabungan itu pada hari pengundian.

Menurutnya, pengenalan calon kepada masyarakat merupakan langkah awal yang telah dilaksanakan, manakala tumpuan semasa adalah memastikan tawaran dan mesej kempen dapat diterima oleh pengundi.

“Secara umumnya, calon-calon kita sudah dikenali masyarakat dan proses kedua adalah bagaimana untuk meyakinkan masyarakat supaya memberikan sokongan.

“Saya lihat calon-calon kita memang aktif mengadakan pertemuan dengan rakyat dan membangkitkan pelbagai isu,” katanya pada sidang media harian PH di sini, hari ini.

Mengulas pendekatan calon di kawasan tertentu, Adly berkata, isu setempat turut menjadi antara perkara utama yang diketengahkan ketika berinteraksi dengan penduduk.

Beliau mengambil contoh calon PH di Klebang yang membangkitkan isu tambak laut serta kebajikan nelayan, selain penglibatan calon muda yang turut mendekati masyarakat menerusi kempen masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, PH sedang melaksanakan penilaian dalaman di setiap kawasan yang ditandingi bagi mengenal pasti tahap penerimaan pengundi terhadap kempen yang dijalankan.

“ Saya fikir dalam minggu hadapan, kita akan mendapat maklum balas daripada setiap DUN ditandingi, termasuk respons rakyat serta kelemahan dan kelebihan yang perlu ditambah baik,” katanya.

Adly berkata, PH turut menjadikan rekod pencapaian pentadbiran di peringkat negeri dan Persekutuan sebagai antara pendekatan utama untuk membina keyakinan rakyat terhadap gabungan itu.

Katanya, usaha menyampaikan maklumat berkaitan prestasi pentadbiran secara berkesan mampu membantu pengundi membuat penilaian sebelum menentukan pilihan pada PRN kali ini.

“Jika maklumat itu sampai kepada rakyat, kita yakin penduduk Melaka boleh memberikan sokongan kepada PH,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button