BERITA SEMASA

Jika Pas boleh ‘berkahwin’ dengan DAP, kena UMNO tidak boleh?

 

KUALA LUMPUR – UMNO tidak seharusnya dihukum sebagai menggadai maruah bangsa apabila bekerjasama dengan parti-parti di dalam Pakatan Harapan kerana kerjasama politik seumpama itu telah lama berlaku. 

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya wujud kerjasama antara UMNO dengan parti-parti di dalam PH, perkara itu tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang negatif kerana PAS sendiri pernah berbuat demikian.

“Kita sering dikonotasi sebagai bekerjasama dengan DAP,  hakikatnya ia adalah kerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Sama macam dalam Barisan Nasional (BN) kita ada MCA dan MIC, dalam PH, mereka ada DAP di situ. Jadi cari dan lihat pada titik kebersamaan antara BN dengan PH bukannya perbezaan,’’ katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) hari ini. 

Bahkan beliau menegaskan bahawa, atas rasa hormat, PH tidak pernah mengusik perkara-perkara penting dalam Perlembagaan UMNO iaitu orang Melayu, agama Islam dan Raja-Raja Melayu dan faham ia perlu dipertahankan.

“Jadi saya tidak nampak ada masalah perlu gadai maruah dan sebagainya kerana PAS sendiri pernah berkahwin dengan DAP lama dahulu, kenapa mereka buat boleh tapi bila kita buat kita dianggap menggadaikan maruah Melayu.

“Jadi Pas harus tanya diri mereka sebab mereka telah beberapa  ‘berkahwin’ secara muta’ah termasuk dengan DAP,’’ katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mahu PAS menilai situasi itu daripada konteks kerjasama politik.

Mengulas persediaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Timbalan Perdana Menteri itu mengakui UMNO memerlukan komitmen yang tinggi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Katanya, kekalahan dua kali dalam Pilihan Raya Umum (PRU14 dan PRU15) membuktikan parti itu mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Tidak ada makna kalau kita berasa kuat tapi keberhasilannya kurang.

“Masalahnya pada pilihanraya itu kita masih melayani titik-titik perbezaan antara kita, kali ini kita mesti mencari titik persamaan dan kita harus gerak ke hadapan,’’  ujar beliau lagi.  

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button