POLITIK

DAP lancar sambutan ulang tahun ke-60

KUALA LUMPUR – Parti DAP hari ini melancarkan sambutan ulang tahun ke-60 parti itu bertemakan “Malaysia untuk Rakyat Malaysia” yang menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan politiknya selama beberapa dekad.

Sambutan itu bertujuan untuk menghargai perjuangan sejarah parti tersebut sambil memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menyumbang ke arah Malaysia yang lebih adil, inklusif dan makmur.

Parti itu dalam satu kenyatan berkata, kedudukannya parti tersebut dalam lanskap politik negara kini amat berbeza berbanding dekad-dekad awal kerana ia sekarang mempunyai peranan memikul tanggungjawab dalam kerajaan di peringkat negeri dan juga Persekutuan.

“Dalam landskap geopolitik dan geoekonomi global yang semakin kompleks, peranan parti dalam menyumbang kepada kestabilan negara menjadi semakin penting,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Semasa Kongres Kebangsaan ke-18 lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menggariskan aspirasi parti untuk berkembang menjadi sebuah “Pembina Negara” yang berteraskan prinsip Bangsa Malaysia.

“Selaras dengan hala tuju tersebut, Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti telah mengangkat ‘Malaysia untuk Rakyat Malaysia’ sebagai tema rasmi sambutan ulang tahun ke-60,” katanya lagi.

Parti itu menjelaskan bahawa tema tersebut membawa dua mesej utama iaitu menegaskan semula kesetiaan kepada prinsip penubuhan DAP dan menyediakan kompas panduan dalam usaha pembinaan negara.

DAP turut menegaskan bahawa perjuangan asalnya kekal tidak berubah iaitu memposisikan diri sebagai parti untuk rakyat, khususnya dalam mempertahankan kepentingan pekerja, peniaga kecil, penjaja serta kumpulan rentan lain.

Pada masa yang sama, tema itu juga bertujuan membimbing ahli parti, terutama mereka yang berada dalam kerajaan, supaya sentiasa berpegang kepada prinsip tersebut ketika merangka dasar negara dan tadbir urus.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran itu, DAP turut memperkenalkan logo rasmi serta sebuah laman web khas, yang membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan program yang dirancang sepanjang tahun, termasuk program di seluruh negara, acara parti dan pelbagai inisiatif.

Kemuncak sambutan ulang tahun berkenaan akan diadakan secara besar-besaran di Kuala Lumpur pada 20 September tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button