BERITA SEMASAPOLITIK

DAP komited perjuang meritokrasi, pastikan pelajar cemerlang tidak terpinggir

KUALA LUMPUR – DAP menegaskan komitmen parti itu bersama Kerajaan MADANI dalam memastikan prinsip meritokrasi pendidikan terus ditegakkan bagi menjamin masa depan pelajar cemerlang, khususnya lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP berkata, tahun ini kerajaan melalui pembaharuan yang diperkenalkan berjaya memastikan 69 pelajar aliran Sains mendapat tempat dalam tiga pilihan universiti utama mereka, malah sebahagian besar memperoleh pilihan pertama.

“Keputusan awal ini menunjukkan prinsip meritokrasi sedang ditegakkan. Namun, kita akui masih ada pelajar yang berasa mereka tercicir dalam proses ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelajar yang tidak mendapat sebarang tawaran UPU Online disaran membuat rayuan segera melalui sistem UPU, manakala mereka yang ingin memperbaiki penempatan boleh menghantar rayuan rasmi untuk dikemukakan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dengan sokongan Timbalan Menteri, Wong Kah Woh.

Howard berkata, DAP turut membuka saluran khusus untuk menerima rayuan pelajar melalui emel dengan dokumen lengkap seperti surat rayuan, slip permohonan UPU, keputusan STPM atau matrikulasi sebelum tarikh tutup pada 8 September ini.

Related Articles

Beliau berkata, meskipun DAP berada pada kedudukan bukan eksekutif, parti itu akan terus berperanan memastikan suara pelajar cemerlang dibela.

“CGPA 4.00 mesti dijamin akses kepada universiti terbaik. Setiap rayuan akan kami pastikan sampai kepada pihak yang sepatutnya.

“Di parlimen, dalam kabinet dan di gelanggang politik, kami akan konsisten memastikan bakat muda Malaysia dipupuk, dihargai dan diberi ruang berkembang,” katanya lagi.

Howard berkata, DAP percaya sistem pendidikan yang menghargai kecemerlangan akan menghasilkan kemakmuran untuk negara.

“Yang terbaik untuk rakyat adalah janji kami; masa depan gemilang untuk anak muda adalah perjuangan kami,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button