BERITA SEMASA

Serangan DAP terhadap UMNO datang daripada ‘Team B’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa serangan terhadap UMNO yang dilontarkan beberapa pemimpin DAP bukan datang daripada kepimpinan utama parti itu, sebaliknya daripada kumpulan dalaman yang disifatkannya sebagai ‘Team B’.

Menurut beliau, perkara itu diperoleh hasil penjelasan yang dimintanya sendiri daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sekali gus menafikan dakwaan kononnya pimpinan tertinggi DAP menentang agenda bumiputera yang diperjuangkan UMNO.

“Yang mengeluarkan kenyataan macam-macam itu bukan pimpinan utama. Itu ‘Team B’. Dalam DAP pun ada pasukan dalaman mereka sendiri dan saya telah berjumpa dengan Setiausaha Agung parti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau bersetuju dengan pandangan beberapa pemimpin UMNO yang mempersoalkan keperluan untuk berasa gentar terhadap DAP, sedangkan parti itu sendiri berdepan perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpinnya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji keberanian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh yang lantang berdepan serangan dan kritikan daripada pemimpin DAP, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tegas dalam mempertahankan maruah parti.

“Bila Akmal jawab ‘lu ingat lu siapa?’, itu bagus. Itulah anak jantan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button