BISNES & EKONOMI

Hock Kee Kopitiam tambah cawangan ke-20 di Eco Grandeur, perkenal konsep ‘By The Garden’

PUNCAK ALAM – Rangkaian kopitiam Nanyang halal, Hock Kee Kopitiam terus mengukuhkan jenamanya apabila membuka cawangan ke-20 di Grandeur Labs, Eco Grandeur di sini dengan memperkenalkan konsep baharu ‘By The Garden’ yang mengetengahkan suasana hijau dan mesra keluarga.

Pembukaan cawangan itu bukan sahaja memperluaskan rangkaian Hock Kee Kopitiam, malah mencerminkan komitmen jenama berkenaan untuk membawa pengalaman kopitiam tradisional yang autentik ke kawasan township yang sedang pesat membangun.

Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada komuniti Eco Grandeur dan menghargai sokongan yang diterima.

“Matlamat kami bukan sahaja menyajikan makanan yang lazat, malah mewujudkan ruang mesra untuk keluarga, rakan dan jiran berkumpul serta membina kenangan indah.

“Kami berharap dapat berkembang bersama komuniti ini untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pembukaan lembut cawangan tersebut, baru-baru ini.

hock kee kopitiam
Pelanggan menikmati suasana santai di cawangan baharu Hock Kee Kopitiam.

Semasa pelancaran, pengunjung boleh menikmati pelbagai menu signatur Hock Kee Kopitiam yang disediakan menerusi dapur pusat yang telah memperoleh pensijilan halal, sekali gus memperkukuh komitmen jenama itu dalam menyediakan hidangan berkualiti kepada komuniti yang lebih luas.

Sementara itu, pihak pengurusan Hock Kee Kopitiam, pemilihan Eco Grandeur dibuat kerana konsep pembangunan berinspirasikan taman yang selari dengan identiti jenama itu.

“Kami memilih Eco Grandeur kerana konsep township yang terinspirasi taman ini selaras sepenuhnya dengan identiti kami.

“Kami memperkenalkan konsep ‘Hock Kee by the Garden’ yang memanfaatkan persekitaran hijau, suasana mesra keluarga serta pertumbuhan komuniti di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan.

hock kee kopitiam
Suasana di Hock Kee Kopitiam Eco Grandeur yang menampilkan konsep ‘By The Garden’.

Menurut kenyataan itu lagi, reka bentuk dalaman restoran bagi cawangan di Puncak Alam itu direka khas bagi mewujudkan suasana yang selesa dan mengalu-alukan kehadiran pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kami berusaha membina persekitaran yang selesa di mana rakan-rakan serta keluarga daripada pelbagai peringkat umur boleh berkumpul dengan tenang.

“Cawangan ini mesra keluarga dan meraikan semangat muhibah Malaysia, menyediakan ruang inklusif untuk komuniti pelbagai latar belakang menikmati hidangan berkualiti,” katanya.

Pihak pengurusan menambah, meskipun Eco Grandeur masih merupakan township yang sedang berkembang, kawasan itu mempunyai potensi besar hasil pertumbuhan populasi, gaya hidup yang dinamik serta komuniti yang berorientasikan keluarga.

Katanya, Hock Kee Kopitiam berhasrat menjadi destinasi pilihan penduduk setempat di samping menyumbang kepada pembangunan kawasan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button