Udang celup tepung sepanjang 1km raih pengiktirafan MBOR
SETIU – Hidangan udang celup tepung sepanjang satu kilometer (1km) yang disediakan sempena Karnival Pekan Budaya Daerah Setiu berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sekali gus mengangkat makanan tradisi itu sebagai identiti daerah berkenaan.
Pegawai Daerah Setiu, Yusaini Amir Mohamad Nor berkata, hidangan berkenaan menggunakan kira-kira 100,000 ekor udang segar dengan anggaran berat keseluruhan mencecah satu tan.
Menurutnya, penyediaan hidangan itu melibatkan 21 pengusaha udang celup tepung yang menjalankan perniagaan di kawasan Penarik dan Rhu Sepuluh.
“Hidangan tersebut dihidangkan di atas 547 buah meja yang disusun sepanjang 1km,” katanya memetik laporan Kosmo! Online pada Karnival Pekan Budaya Daerah Setiu di Laman Rhu Sepuluh, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian karnival berkenaan yang disempurnakan Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Yusaini Amir berkata, bekalan udang yang digunakan bagi menjayakan acara itu disumbangkan oleh Blue Archipelago Berhad yang mengusahakan kolam ternakan udang di daerah tersebut.
Katanya, kesemua udang celup tepung itu digoreng secara bergotong-royong oleh para peserta sebelum dihidangkan serentak kepada pengunjung.
“Pengiktirafan daripada MBOR ini diharapkan dapat memperkenalkan dengan lebih meluas lagi produk udang celup tepung yang menjadi identiti dan kebanggaan daerah Setiu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













