BERITA SEMASA

KPKT cipta 3 rekod baharu The Malaysia Book of Records

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini telah menerima tiga sijil The Malaysia Book of Records (MBOR) setelah berjaya mencipta tiga rekod baharu MBOR semasa penganjuran Hari Cuci Malaysia 2024: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day yang
berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur dan 649 lokasi di seluruh negara pada Sabtu lalu.

Sijil MBOR itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christopher Wong kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming di Bangunan KPKT hari ini.

Menurut KPKT dalam satu kenyataan, tiga rekod baharu MBOR tersebut ialah penyertaan paling ramai dan serentak seluruh negara, kutipan sisa pepejal terberat dan tempoh masa gotong-royong paling lama iaitu 12 jam.

“Menerusi penyertaan paling ramai, KPKT berjaya meraih 58,007 orang peserta melebihi sasaran awal 50,000 orang peserta. Pencapaian ini telah berjaya mengatasi rekod MBOR iaitu 35,685 peserta gotong-royong anjuran UiTM pada 29 September 2023.

“Menerusi kutipan sisa pepejal terberat pula, KPKT berjaya meraih kutipan sisa pepejal sebanyak 4,645.50 tan iaitu melebihi sasaran awal 30 tan. Rekod ini berjaya mengatasi rekod 23 tan sisa semasa program World Cleanup Day pada 15 September 2018 anjuran Junior Chamber International Malaysia (JCI),” katanya hari ini.

Katanya, berdasarkan kutipan sisa pepejal di seluruh negara, Negeri Sembilan Berjaya mengutip sisa pepejal paling berat iaitu 1266.00 tan, diikuti Pahang (827.01 tan); Perak (615.82 tan); Kedah (420.28 tan); Kuala Lumpur dan Putrajaya (371.68 tan); Kelantan (300.02 tan); Sarawak (226.87 tan); Johor (211.06 tan); Terengganu (171.04 tan); Melaka (79.92 tan); Perlis (73.97 tan); Selangor (64.68 tan); Sabah (11.85 tan) dan Pulau Pinang (5.29 tan).

“Penciptaan tiga rekod baharu ini membuktikan kerjasama padu dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak yang melibatkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), residensi PR1MA, komuniti program perumahan rakyat (PPR), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), pihak konsesi, NGO, sukarelawan, rakan strategik KPKT, pihak media serta masyarakat awam yang bersama-sama menjayakan program ini di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, program gotong-royong mega itu akan memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan dan tanggungjawab menjaga kebersihan awam demi imej dan reputasi negara khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Nga Kor Ming

“Pelaksanaan program ini seiring dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan Madani yang berteraskan kepada kemampanan dan kesejahteraan masyarakat.

“Selain daripada gotong-royong mega bersepadu, program ini juga menumpukan skop pembersihan kawasan sekitar, pembersihan dan penutupan tapak sampah haram, pelaksanaan kempen kitar semula dan kempen Kata Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna,” katanya.

Hari Cuci Malaysia merupakan anjuran bersama KPKT, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang turut mendapat kerjasama strategik daripada Perbadanan PR1MA Malaysia, Malakoff Corporation Berhad menerusi Alam Flora Sdn.Bhd. dan Central Market Sdn. Bhd.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button