BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pembakaran di tapak sampah haram Cybersouth: Pemilik tanah diarah bertindak

SEPANG – Aktiviti pembakaran terbuka berulang di tapak pembuangan sampah haram di Cybersouth, Dengkil kembali mencetuskan kebimbangan serius apabila kawasan itu dikesan terus menjadi lokasi pencerobohan dan pelupusan sisa secara tidak sah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang juga Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pemerhatian di lokasi mendapati kesan pembakaran masih ketara dengan sisa-sisa terbakar dalam jumlah banyak serta kewujudan asap nipis, menunjukkan ia dilakukan secara berterusan.

Menurutnya, bahan yang dibakar terdiri daripada campuran sisa pepejal, sisa binaan dan sampah haram, sekali gus menimbulkan risiko pencemaran udara serta ancaman kesihatan kepada penduduk berdekatan.

“Saya turun ke lokasi seusai sesi Dewan Negara hari ini selepas menerima laporan daripada Bomba dan Penyelamat Dengkil berhubung kejadian pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah dipercayai haram itu,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir semasa lawatan itu ialah pemilik tanah, Khairi; Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Ahmad Saifunazif Mat Yatim; Ketua Zon 5 JBPM Selangor, Mohamad Issmanto Md. Pono; Penolong Pegawai Tanah, Noor Diyana Mohd. Dahalan; wakil penguat kuasa MPS, Azazil; Ketua Cawangan JAS Sepang, Helmi; dan Ahli Majlis Zon Timah Langat, Lee Kan Ming.

Aiman Athirah berkata, pemilik tanah telah diarahkan meningkatkan rondaan di kawasan terjejas dan diwajibkan membuat laporan polis dengan segera bagi mengelakkan pencerobohan serta pembuangan sisa berulang.

“Pemilik tanah bertanggungjawab memastikan tiada salah guna termasuk apa jua aktiviti haram berlaku dalam kawasan milik mereka. Mereka turut dinasihatkan memasang CCTV untuk pemantauan 24 jam,” katanya.

Katanya lagi, pemilik tanah turut bersetuju memasang papan tanda larangan lebih besar, menutup akses ke tapak terbabit serta mengumpulkan bahan bukti bagi membantu siasatan penguatkuasaan.

Beliau berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang juga akan mengeluarkan Notis 7A Kanun Tanah Negara untuk mengarahkan pemilik memulihkan tanah tersebut kepada keadaan asal, dengan tindakan lebih tegas termasuk perampasan boleh diambil sekiranya gagal berbuat demikian.

Dalam masa sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) akan bekerjasama memastikan siasatan serta tindakan undang-undang berkaitan dilaksanakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button