Transaksi hartanah cecah RM241.87 bilion, KPKT perkukuh reformasi perumahan
PUTRAJAYA – Sektor hartanah negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila nilai transaksi mencecah RM241.87 bilion pada tahun 2025, tertinggi dalam tempoh sedekad.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan tinggi pelabur serta kekuatan asas ekonomi negara di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Sektor hartanah adalah antara pemacu utama ekonomi negara kerana ia memberi impak kepada hampir 200 industri termasuk pembinaan, kewangan, bahan binaan dan perkhidmatan profesional.
“Pertumbuhan ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap perumahan di Malaysia terus kukuh dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan Laporan Pasaran Harta 2025, nilai transaksi tersebut meningkat 4.1 peratus berbanding tahun 2024, melibatkan sebanyak 416,413 transaksi keseluruhan.
Tambahnya, subsektor bangunan kediaman mencatat pertumbuhan 5.9 peratus manakala Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat 2.6 peratus, sekali gus menandakan pasaran perumahan kekal stabil dan berdaya tahan.
Kor Ming berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang giat melaksanakan agenda Reformasi Perumahan MADANI bagi meningkatkan kualiti dan daya saing sektor berkenaan.
“Reformasi ini memberi tumpuan kepada memperkukuh tadbir urus sektor perumahan bagi mencapai sifar projek sakit menjelang 2030, selain memastikan lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah yang selamat dan berdaya huni,” katanya lagi.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk memperkukuh mekanisme audit Akaun Pemajuan Perumahan (HDA), pemantauan projek secara masa nyata melalui sistem HIMS, serta penambahbaikan platform TEDUH bagi membolehkan pembeli membuat aduan terhadap pemaju.
Selain itu, kerajaan turut menggubal Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) bagi memperluaskan skop kawal selia termasuk unit residensi di atas tanah komersial serta melaksanakan sistem e-SPA bagi mengelakkan manipulasi dokumen.
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan sektor perumahan bukan sahaja berkembang dari segi nilai, malah meningkat dari aspek kualiti pembangunan, kecekapan sistem serta kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan akses rakyat kepada perumahan, sekali gus menyokong perkembangan mampan sektor hartanah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








